Wednesday, October 6, 2010

TARIAN-TARIAN DI MALAYSIA


Jenis-jenis tarian di Malaysia

*Makyong
*Tarian Adai-Adai
*Tarian Bharata Natyam
*Tarian Bolak-Bolak
*Tarian Daling-Daling
*Tarian Kuda Kepang
*Tarian Ngajat
*Tarian Singa
*Tarian Sumazau
*Zapin

Makyong 

 
Mak Yong atau Makyung merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu , Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalam dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.


Tarian Adai-Adai

Tarian traditional bagi suku kaum Brunei yang berdasarkan pada kehidupan kaum nelayan. Tarian ini mengisahkan cerita kumpulan nelayan pergi menangkap ikan di laut manakala kaum wanita menunggu kepulangan mereka di kawasan pantai untuk membantu mengutip hasil tangkapan yang akan diperolehi.

Tarian Adai-adai ini biasanya ditarikan oleh pasangan empat lelaki dan empat perempuan ini diiringi oleh pukulan rebana dan gambus serta nyanyian dengan rentak hampir sama dengan rentak tarian zapin yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Tarian Adai-Adai biasanya diadakan semasa keramaian suku kaum Brunei ataupun menyambut ketibaan orang-orang kenamaan. Penari-penarinya juga memakai pakaian khas yang berwarna warni.Kadang-kala tiada alatan muzik digunakan, sebaliknya bunyi yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung atau keduit. Tarian ini sering dipersembahkan di majlis-majlis keramaian.


Tarian Bharata Natyam

Tarian Bharata Natyam merupakan salah satu gaya tarian klassik India. Tarian klassik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.

Tarian ini berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang penari wanita.

Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya ( Tarian Ekspressi ).


Tarian Bolak-Bolak

Tarian Bolak-bolak adalah tarian traditional suku kaum Suluk yang diiringi dengan pukulan "gabbang" yang sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain. Tarian Bolak-bolak dilakukan oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna warni.

Penari menggunakan empat bilah kayu kecil jenis keras yang digenggam dengan tangan, dua bilah kayu dalam satu tangan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan bunyi sama rentak dengan pukulan kulintangan.


Tarian daling daling

Tarian Daling-daling merupakan tarian traditional bagi suku kaum ?ajau dan ?uluk juga amat terkenal. Tarian Daling-daling ini biasanya dipersembahkan dengan iringan pukulan "gabbang" dan gesekan biola dan nyanyian, kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari wanitanya. Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakkan kaki yang khusus penari-penarinya memperlihatkan keunikan tarian Daling-daling ini.


Tarian kuda kepang

Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperperangan Rasulallah dan para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.

Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya dari berketurunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.


Tarian ngajat

Tarian Ngajat sangat popular dalam kalangan orang Iban di Sarawak.

Tarian Ngajat terdiri daripada beberapa jenis, antaranya ialah:-

1. Ngajat Induk
2. Ngajat Bebunoh
3. Ngajat Lesong
4. Ngajat Semain
5. Ngajat Berayah
6. Ngajat ““Ngemai antu pala”

Ngajat bagi orang-orang Iban ialah tarian semasa menyambut Hari Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu tarian tersebut ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.

Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Tarian ini ditarikan dengan berdiri atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh.

Satu lagi jenis tarian ini ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.

Lagu iringan dibunyikan daripada alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.


Tarian singa

Tarian Singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.

Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.


Tarian sumazau

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.


Zapin


Tarian Zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara iaitu di Semanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah:

* Tarian Zapin Arab
* Tarian Zapin Johor
* Tarian Zapin Lenga
* Tarian Zapin Pekan
* Tarian Zapin Tenglu

Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola.


Sumber Rujukan

*ms.wikipedia.org/wiki/mak_yong
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_kuda_kepang
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian-zapin
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_ngajat
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_sumazau
*http://ms.wikipedia.org/wiki/bharata_natyam
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_adai-adai
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_bolak-bolak
*http://ms.wikipedia.org/wiki/tarian_daling-daling

No comments:

Post a Comment